KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim di peringkat Parlimen pada Simposium Perubahan Iklim 2022 di Parlimen Malaysia pada 5 September ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pembangkang itu hari ini, memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Khas itu sekaligus akan dapat membantu kerajaan merangka satu hala tuju jelas bagi mendepani kemelut perubahan iklim.
“Simposium yang julung kalinya diadakan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan akan turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli-ahli Parlimen.
“Ia juga melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta, ahli-ahli akademik, pertubuhan masyarakat madani dan pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, matlamat simposium adalah merangkul kesemua sendi kepimpinan negara dan juga generasi penerus sebagai upaya mewujudkan rencana dan kebijakan yang tuntas bagi mendepani permasalahan dan dampak perubahan iklim.
“Inisiatif ini juga diambil berikutan berlakunya musibah seperti banjir yang melanda sebahagian kawasan di negara ini pada tahun 2014 dan 2021.
“Ia adalah kerana corak perubahan iklim yang membimbangkan serta kesan dari pembalakan sekali gus mendedahkan Malaysia kepada realiti permasalahan perubahan iklim kini,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurutnya, ia juga bertujuan menggariskan beberapa isu penting melibatkan kemelut iklim, mencari formula yang terbaik sebagai rencana untuk daya tahan iklim dan tebatan banjir.
“Selain itu ia bagi menggerakkan negara ke arah pelepasan sifar bersih (net-zero emissions) sambil menekankan aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

