SEORANG lelaki kini diburu polis kerana disyaki mencuri dalam sebuah pasar raya di Tebrau, Johor Bahru malam tadi membabitkan barangan bernilai RM952.19.
Muhammad Firdaus Shamsudin, 33, yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan turut dilaporkan memandu Honda City secara merbahaya sehingga merosakkan beberapa kenderaan lain di parkir pasar raya terbabit ketika cuba melarikan diri.
Terdahulu beberapa video dan gambar suspek yang melarikan diri ketika cuba ditangkap oleh orang awam dan pekerja pasar raya berkenaan turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pengurus pasar raya berkenaan pada jam 10.44 malam tadi.
Menurutnya, pengurus berkenaan memaklumkan mengenai tangkapan seorang wanita berusia 31 tahun yang terbabit kejadian curi di pasar raya terbabit.
“Pengadu menyedari kejadian berlaku pada jam 7.15 malam apabila mendapati suspek wanita tempatan dan lelaki berkenaan membawa barangan dari dalam pasar raya keluar melalui mesin pengesan layan diri tanpa membuat pembayaran.
“Suspek lelaki itu berjaya melarikan diri menaiki sebuah kereta dan memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta di tempat letak kereta pasar raya terbabit semasa cuba ditahan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan telah dibuat membabitkan pelbagai jenis coklat, ubat gastrik, ‘seat hook’ dan pemegang telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM952.19 daripada suspek wanita yang berjaya ditahan.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek wanita mendapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.
“Suspek wanita kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 dan 427 Kanun Keseksaan dan polis kini masih mengesan rakan sejenayah wanita terbabit.
“Hasil semakan suspek lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dalam bangunan, selain dua rekod lain kes jenayah, satu rekod lampau kes dadah dan dua rekod dikehendaki polis juga dalam kes dadah,” katanya.
Raub meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017-3498690 bagi membantu siasatan. – Malaysiapost





