Pemuda Umno perjuangkan kebajikan pemandu e-hailing

0
1

PEMUDA Umno akan mengadakan satu sesi Meja Bulat Khas pada minggu hadapan bersama gabungan pemandu e-hailing untuk membawa suara mereka kepada pihak kerajaan.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selain memperjuangkan penunggang p-hailing pihaknya juga perjuangkan kebajikan pemandu e-hailing.

Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima kunjungan Ketua Aktivis Sekretariat Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) Jose Rizal dan rakan-rakan daripada pelbagai Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia, hari ini.

Menurutnya, dalam pertemuan itu pihaknya menerima memorandum serta resolusi berkaitan isu-isu kebajikan pemandu e-hailing.

“Perbincangan selama 90 minit ini membincangkan cadangan yang perlu diambil kerajaan atau agensi berkaitan antaranya, menilai semula Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mengenai penguatkuasaan dan kebajikan pemandu e-hailing.

“Mengkaji semula kadar tambang Penyedia Perkhidmatan E-Hailing dengan mengambil kira peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan yang semakin meningkat.

“Selain jaminan jaringan hak keselamatan sosial dan ekonomi terhadap pemandu e-hailing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda Umno menyambut baik idea-idea penambahbaikan yang membabitkan isu pemandu e-hailing berkenaan.

“Pemuda Umno Malaysia di bawah Sekretariat Pekerja Muda akan terus menjadi jurubicara rakyat membawa isu-isu pekerja kepada pihak bertanggungjawab agar kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan diambil perhatian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here