6 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

0
1

ENAM nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti perikanan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 55 batu nautika daripada Muara Tok Bali, Kelantan, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata bot dinaiki nelayan asing itu ditahan pada jam 6.35 petang.

Menurutnya, dua bot peronda Maritim Malaysia telah diarah untuk memburu bot nelayan asing Vietnam yang dikesan semakin agresif akhir-akhir ini.

“Pada jam 6.10 petang, bot peronda telah mengesan sebuah bot nelayan berwarna biru dan kelabu dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot tersebut bertindak untuk melarikan diri namun gagal apabila dipintas dan dikepung oleh kedua-dua bot peronda.

“Pasukan geledah menaiki dan menahan bot tersebut pada 6.35 petang dan ditahan pada jarak lebih kurang 55 batu nautika daripada Muara Tok Bali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan enam kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam dan tekong gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 32 hingga 52 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan turut mendapati kira-kira 1.1 tan ikan berada di atas bot yang dipercayai ditangkap di perairan Malaysia. Bot dan kesemua mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan dan tiba pada jam 9 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, ikan tangkapan, bahan bakar diesel lebih kurang 500 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM365,000.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama, selain Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Sebarang maklumat kehadiran bot nelayan asing boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here