Nasib Rosmah diketahui hari ini

0
2

DATIN Seri Rosmah Mansor bakal mengetahui nasibnya sama ada dibebaskan atau didapati bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion hari ini.

Isteri Datuk Seri Najib Razak itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi setiap tuduhan dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Susulan itu puluhan pengamal media telah mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak jam 7.45 pagi bagi mengikuti prosiding keputusan kes tersebut.

Berita Harian melaporkan kawalan keselamatan turut diperketat dengan penugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Semalam, Rosmah dilaporkan berkata beliau hilang kepercayaan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan untuk membuat keputusan dalam kes rasuah dihadapinya, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Rosmah dalam permohonan notis usulnya supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu dan memohon supaya ia didengar atau dibicarakan semula hakim lain.

Permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini itu difailkan Isnin lalu, secara dalam talian dengan alasan beliau hilang kepercayaan kepada hakim terbabit berikutan pendedahan sebuah portal berita bahawa bukan Mohamed Zaini yang menyiapkan keputusan penghakiman kes, sebaliknya oleh pihak lain bagi dirinya.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari tahun lalu, terhadap tiga tuduhan rasuah selepas Mohamed Zaini memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khas beliau, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here