SEORANG pemimpin Umno mencabar Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membongkar segera penyelewengan projek terowong di Pulau Pinang ketika pentadbiran Lim Guan Eng.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, seperti kes kapal tempur pesisir (LCS) kecuali individu yang didakwa sudah diketahui, namun rakyat juga ingin tahu status projek terowong tersebut.
Katanya, Rafizi perlu ‘korek’ mengenai projek itu juga, jangan pilih kroni dan membiarkan ia terus ghaib.
“Saya cabar Rafizi, bongkar segera penyelewengan projek terowong Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Tetapi saya yakin Rafizi tidak akan buat kerana itu rakan kroni mereka.
“Walaupun Guan Eng sudah didakwa, tetapi rakyat ingin tahu macam mana terowong itu ghaib. Projek kapal LCS lewat kamu bising. Terowong ghaib kamu senyap.
“Penghantaran kapal pertama lewat dari tarikh asal pada April 2019. Kelewatan itu tambah parah kerana dibekukan oleh Kerajaan PH. Tetapi LCS tidak ghaib macam terowong,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Puad turut membidas Rafizi yang disifatkan hipokrit kerana menutup mata dan tidak bersuara mengenai projek terowong ini.
“Mungkin Terowong Lim Guan Eng ghaib kerana disorok oleh orang bunian laut. “Trak Rafizi” sampai tak jumpa untuk melaluinya. Rafizi dan PAC memang hipokrit,” katanya . – Malaysiapost

