Ben Ibrahim
ERTI kemerdekaan sebenar adalah apabila pemikiran ahli politik tidak terikat dengan agenda kepartian sempit dan lapuk.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, semangat kemerdekaan tidak harus dilihat dari sudut fizikal, tetapi turut dinilai melalui aspek emosi dan mentaliti.
“Menggunakan tema ‘Teguh Bersama’ sudah pasti ia membawa makna supaya kita menekankan kesatupaduan dan kebersamaan demi kepentingan masyarakat serta negara.
“Namun, kita lihat masih ada sekatan tertentu kepada wakil rakyat bukan daripada parti pemerintah dan ia masih menjadi amalan di negeri tertentu.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa ‘terjajahnya’ pemikiran ahli politik dengan budaya politik sempit dan lapuk dan mencemarkan prinsip demokrasi,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Katanya lagi, pembunuhan karakter dengan politik adu domba bagi tujuan melaga-lagakan dan saling menjatuhkan adalah budaya tidak sihat dan memberi ‘signal’ buruk kepada rakyat.
“Masalah ini bukan saja berlaku ketika persaingan antara satu parti dengan parti lain, tapi turut terjadi dalam kalangan parti yang sama.
“Kegiatan negatif ini berlaku disebabkan pengamalan politik tanpa penghayatan agama yang sebenar,” katanya yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Beserah.
Beliau mengajak semua ahli politik untuk merenung sejenak dan bermuhasabah bagi memahami erti kemerdekaan dalam konteks lebih luas.
Katanya, politik sepatutnya menjadi medan merapatkan hubungan antara masyarakat dan bukannya dijadikan alat memecahbelahkan komuniti.
Beliau juga berharap budaya politik matang dapat dijadikan pegangan semua pihak bagi memastikan agenda bersama menjadikan Malaysia sebagai negara makmur dan harmoni dapat direalisasikan. – Malaysiapost

