DATUK Seri Azalina Othman Said menafikan laporan mendakwa beliau telah meletak jawatan sebagai penasihat khas perdana menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia.
“Saya ingin mengesahkan setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dan hak asasi manusia.
“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka yang ke-65,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Berita Harian melaporkan Azalina telah meletak jawatan, dipercayai ada kaitan dengan isu kritikan Ahli Parlimen Pengerang itu terhadap badan kehakiman.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah menerima peletakan jawatan Azalina hari ini (semalam). Ia ada kaitan dengan isu kritikan (terhadap badan kehakiman),” kata akhbar itu yang memetik sumber.
Sabtu lalu, Azalina dilapor menyampaikan ucapan penuh semangat berkaitan pelantikan Peguam Negara (AG) sewaktu program Taklimat Khas Presiden Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menjelaskan, pelantikan AG adalah atas nasihat Perdana Menteri, maka dia harus melantik ‘orang dia’ untuk mudahkan segala urusan.
“Pelantikan AG adalah atas nasihat PM dan PM harus melantik ‘orang dia’ sebagai peguam negara untuk mudahkan segala urusan.
“Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM. Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh,” katanya.
Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan kerana dianggap memberi bayangan institusi pendakwaan negara dipengaruhi dan dikawal secara jelas oleh seorang Perdana Menteri.
Azalina dilantik Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos tahun sama. – Malaysiapost

