PM beri komitmen PRU15 tahun ini – Tok Mat

0
1
tokmat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, Perdana Menteri tidak memberi tarikh khusus tetapi dipercayai dalam masa terdekat.

“Tapi beliau tidak bagi tarikh, sehingga beliau terpaksa kata takkan nak bawa sampai tahun depan, jadi jelas PRU tahun ini.

“Kalau tahun ini takkan nak buat bulan 12 (Disember) nanti orang berenang pula nak pergi mengundi, itu jangka masa yang perlu kita perhati betul-betul dan lakukan gerak kerja,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama kepimpinan BN Pahang, semalam.

Penggal Dewan Rakyat akan berkahir pada 16 Julai tahun depan.

Ismail Sabri kini menerima tekanan hebat daripada Umno untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum, yang berpotensi menjadikannya Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Sementara itu, Mohamad juga menggesa parti komponen BN menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum dahulu sebelum memikirkan soal pemilihan parti.

“Lupakanlah dulu nak bertanding dalam parti. Pemilihan parti Umno enam bulan selepas PRU, kita dah buat ketetapan maka kiralah nak PRU dulu.

“Dah menang esok dalam PRU maka marilah kita berlawan (pemilihan parti). Itu sesama kita sahaja,” katanya.

Umno dan MCA sebelum ini meminda perlembagaan masing-masing untuk membolehkan pemilihan parti ditangguhkan selepas pilihan raya umum.

Mohamad turut mengingatkan BN supaya mengenal pasti musuh yang sebenar dan mengenepikan percanggahan pendapat dalam parti.

“Pilihan raya tak lama lagi. Kita berhadapan dengan musuh yang nak memusnahkan kita. Kita perang betul-betul, dan kenal siapa musuh kita yang sebenar.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor parti yang kedua dapat banyak undi ialah Perikatan Nasional (PN) maka tengok kawasan kita kerana kita tak tahu musuh kita.

“Parti yang belum kita lihat sebagai ancaman kita untuk PRU ialah PN maka jangan sampai mereka baca langkah kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here