PENDAKWAAN menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi supaya memberikan keutamaan kepada kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbanding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Razak.
Pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini sudah selesai dengan mengambilkira penarikan balik surat berkenaan, lapor Berita Harian.
“Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini,” katanya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata tiada siapa pun boleh menentukan kes apa yang perlu diberi keutamaan di mahkamah.
Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah
“Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.
Perbicaraan kemudian bersambung dengan Ahmad Zahid membela diri.
Semalam, tular satu surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Ahmad Zahid.
Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Datuk Lawrence Sequerah yang dilihat Malaysiapost, pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.
Menurut surat yang ditandatangani Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, beliau meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera. – Malaysiapost

