PEMIMPIN Umno kesal tindakan pihak yang melaungkan sorakan ‘boo’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Taklimat Presiden Umno, Sabtu lalu.
Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, beliau kecewa dengan apa yang berlaku pada hari tersebut dan keadaan itu sekali gus membuat Umno dilihat buruk dan memalukan.
Tegasnya, tidak sepatutnya berlaku kejadian ‘boo’ itu kerana Perdana Menteri adalah daripada pemimpin Umno sendiri.
Selain itu, katanya, beliau setuju dengan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak, dan sebagai seorang bapa, dirinya juga faham dengan perasaan anak bekas Perdana Menteri itu.
Namun, katanya, beliau tidak boleh menggunakan platform Taklimat Presiden untuk berbuat demikian kerana sesi tersebut sepatutnya berkaitan persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Manakala Datuk Seri Azalina Othman pula lagi menyedihkan. Apa yang dia cakap langsung tidak menggambarkan bahawa dia seorang penasihat undang-undang kepada PM.
“Dia sepatutnya boleh bercakap dengan PM secara berdepan dan tidak menghentam PM dalam platform terbuka. Kasihan PM. Presiden dan PM seharusnya bersama-sama menguatkan parti bagi meraih undi atas pagar yang amat penting apatah lagi undi 18 tahun akan bermula pada PRU15 nanti.
“Kita sepatutnya menyokong tindakan PM yang tidak masuk campur urusan mahkamah kerana platform yang betul ada dan boleh digunakan untuk membela diri,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Yusof menyeru agar kepimpinan parti mengambil langkah drastik untuk kembali menyatukan semua ahli Umno bagi menyokong parti dan Perdana Menteri dalam berhadapan PRU15 sekali gus mencapai objektif kemenangan.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan meminta semua pihak berpijak di bumi nyata kerana apa yang terjadi di majlis Taklimat Presiden bukan suara sebenar akar umbi.
“Kita harus sedar bahawa undi popular tidak menyebelahi kita. Atas pagar sentiasa melihat dan akan menilai kelakuan Umno.
“Sekiranya ini yang dipamerkan maka susah untuk kita memberi kepercayaan kepada atas pagar untuk mengundi kita. Kita kena kukuhkan parti dan dengan cara ini orang akan percaya.
“Senario politik masa kini bukan seperti dulu. Ini hakikat yang kita perlu terima. Kita juga kena belajar untuk menghormati pemimpin kerana itu adalah adab dan budaya Umno. Kita tidak serang sesama sendiri. Kita tuding jari kepada parti lain yang berpecah tetapi tanpa sedar kita sendiri gagal memupuk perpaduan antara ahli,” katanya.
Justeru itu, beliau meminta pihak tidak bertanggungjawab jangan cuba melagakan Presiden dengan Perdana Menteri.
“Sikap ahli yang sebegini membuatkan umno dibenci oleh orang muda. Perlu diingat, PRU15 sudah tidak lama. Kita perlukan antara satu sama lain.
“Kita perlu mendokong sesama kita. PM adalah ahli Umno dan naib presiden umno jadi mengapa kita perlu mengecam beliau,” katanya. – Malaysiapost

