AHLI-ahli Umno di semua peringkat diingatkan agar terus tenang dan tabah mengharungi perasaan yang pelbagai, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu bersetuju dengan amanat Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa perkara paling penting ialah solidariti sesama ahli keluarga Umno dikekalkan.
“Rasa sedih, pilu. Mungkin ianya bersandarkan kedudukan kita yang berada dalam persimpangan antara kawan, darah daging dan perjuangan. Persimpangan antara pendirian parti dan juga proses kehakiman, juga proses demokrasi negara.
“Tetapi yang penting sekarang suasana penuh dengan perasaan pelbagai.
“Saya harap ahli-ahli kita di semua peringkat terus tenang dan tabah mengharungi perasaan yang pelbagai,” katanya dalam video di Facebook, malam tadi.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi dilaporkan berlangsung ‘tenang’ meskipun sedikit beremosi ketika sesi taklimat khas Presiden yang berlangsung petang semalam.
Menurut seorang ahli MKT yang enggan namanya disiarkan berkata mesyuarat MKT menyatakan solidariti untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.
“(Mesyuarat) Tak ada panas, hanya solidariti nak PRU diadakan segera saja,” katanya kepada Malaysiapost lewat malam tadi.
Katanya, mesyuarat dipengerusikan Ahmad Zahid dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlangsung dengan baik dan harmoni.
Mesyuarat MKT Umno juga tidak menyentuh mengenai hukuman penjara dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya MKT menjadikan pengorbanan Najib sebagai pemangkin semangat untuk hadapai PRU.
Sementara itu, Hishammuddin yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan berkata, ahli-ahli Umno semua peringkat juga perlu membuat persiapan bagi PRU yang akan diadakan bila-bila masa.
“Amat mustahak untuk semua ahli Umno tenang dan tabah biarpun diselubungi pelbagai perasaan serta bersatu terutama untuk berdepan PRU yang akan datang.
“Perlu diingat, yang akan menentukan jatuh bangun dan nasib parti kita ialah rakyat di luar sana. Dan nasib parti kita akan menentukan masa depan negara,” katanya. – Malaysiapost

