DATUK Seri Azalina Othman digesa supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri susulan tindakannya secara terbuka menyindir serta menyalahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam Majlis Taklimat Khas Presiden Umno, semalam.
Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin, berkata Azalina perlu melepaskan jawatannya bagi menjaga integriti Perdana Menteri kerana tindakannya itu bukan sahaja mengecewakan malah memberi gambaran salah Umno kepada masyarakat.
Beliau berkata, sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Azalina seharusnya memberi kenyataan matang dan lebih bertanggungjawab, namun bertindak sebaliknya dan memberi gambaran salah bahawa Perdana Menteri perlu mencampuri urusan legislatif.
“Taklimat khas Presiden kepada empat peringkat jawatankuasa Umno seharusnya fokus kepada usaha parti berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menyatukan ahli serta semua jentera parti.
“Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyeru kepada solidariti dan penyatuan dalam parti. Namun, ucapan Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, pada awal taklimat telah mewujudkan gambaran yang salah kepada Perdana Menteri.
“Azalina bukan sahaja seolah-olah menyerang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, malah meletakkan kesalahan ke atas Perdana Menteri, kononnya beliau telah melakukan kesilapan apabila tidak melantik Peguam Negara yang lebih ‘mesra’ Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Bakri berkata kenyataan Azalina itu adalah amat tidak baik untuk imej Umno menjelang PRU15.
“Desakan terbuka supaya lantikan Peguam Negara baharu yang ‘mendengar cakap’ Perdana Menteri, bukan sahaja memberi imej hodoh kepada parti pada pandangan masyarakat umum, malah menggambarkan parti mahu ‘mengawal’ legislatif negara,” katanya.
Semalam, Azalina ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden Umno, berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.
Azalina dilaporkan berkata, pelantikan peguam negara dalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.
“Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Naning, menyuarakan rasa kecewanya dengan reaksi berlebihan ucapan pemimpin Umno, termasuk Azalina, yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, sehingga memberi laluan kepada segelintir perwakilan memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Memang kita bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Namun, sebagai sebuah parti utama negara, Umno perlu menunjukkan kematangan dalam menangani proses keadilan serta menjunjung tinggi proses perundangan negara seperti yang digariskan dalam Rukun Negara,” katanya. – Malaysiapost

