Muhyiddin PM jika PN menang PRU15

0
1
Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) Dutamas hari ini.

TAN Sri Muhyiddin Yassin bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Justeru, Presiden Gerakan itu berkata, gabungan parti dalam PN perlu menumpukan kekuatan dan perpaduan bagi memenangi PRU15 seterusnya mengambil alih kerajaan persekutuan, lapor Utusan Malaysia.

“Dengan kekuatan sedia ada termasuk menteri kanan, menteri Kabinet, kita perlu gunakan sumber sedia ada untuk turun padang dapat sokongan.

“Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya sewaktu Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Dominic  berkata, semua komponen PN perlu mendapat sokongan dan undi daripada setiap lapisan masyarakat sekiranya ingin meraih undi dalam PRU15.

“Kita PN mewakili daripada semua bangsa, jadi PN perlu membela hak orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, dan setiap rakyat mempunyai MyKad,” katanya.

Terdahulu, PN mencadangkan supaya sebuah agensi sehenti khusus diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar memerlukan bantuan.

Selain itu, agensi boleh bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan yang hendak disalurkan.

Muhyiddin berkata, agensi itu boleh mengambil model Centrelink dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. 

“Suatu sistem semakan kelayakan penerima bantuan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam boleh diwujudkan untuk memastikan tiada pertindihan penerima bantuan dan tiada seorang pun yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerimanya. 

“Dengan cara ini, sumber kewangan kerajaan dapat dioptimakan di samping memastikan tiada seorang yang tercicir,” katanya.

Menurut Muhyiddin, PN menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera menangani masalah golongan berpendapatan rendah dengan tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan pakej bantuan komprehensif dan bersasar kepada golongan memerlukan bantuan.

Katanya, selain itu kerajaan wajar merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya golongan muda yang sedang mencari pekerjaan mesti diberikan keutamaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here