Beri Kerajaan Ismail Sabri berkhidmat hingga hujung penggal

0
1

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menolak desakan sebahagian pihak di dalam Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, pihaknya menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan yakni ‘Parlimen Berpenggal Tetap’ dengan meneruskan Parlimen Ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

“Dengan ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, setiap Parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran hanya dibenarkan dalam dua keadaan.

“Iaitu (a) apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen; dan (b) apabila dua pertiga Parlimen bersetuju untuk pembubaran awal,” menurut kenyataan hari ini.

Menurut BERSIH, menerusi ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, tarikh pilihan raya biasanya adalah tetap sekali gus akan menyumbang kepada kestabilan politik dengan tidak menggalakkan percubaan politik dan pengiraan yang singkat.

Dalam pada itu, BERSIH merasa was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober.

Katanya, ia sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab bagi memancing undi dengan tawaran mengiurkan.

“BERSIH menyelar mereka yang bermuka tebal menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk memohon ampun bagi (Datuk Seri) Najib Razak dan membubarkan Parlimen.

“Terang lagi bersuluh bahawa mereka mahukan sebuah kerajaan baharu yang akan memohon ampun bagi Najib, menekan para hakim malah mungkin menarik balik pendakwaan untuk kes-kes rasuah yang lain,” katanya.

Justeru, BERSIH menggesa Perdana Menteri berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan PRU15 diawalkan.

“Perdana Menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here