Skandal LCS: Kit Siang gesa Azam Baki letak jawatan

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletak jawatan susulan kegagalannya bertindak dalam skandal projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, turut mempersoalkan kegagalan SPRM bertindak walaupun telah menerima laporan audit forensik skandal LCS yang mengandungi pelbagai tuduhan rasuah selama lebih daripada dua tahun.

“Azam patut meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sekiranya dia tidak dapat menjelaskan mengapa SPRM tidak bertindak terhadap sesiapa pun dalam skandal LCS.

“Azam tidak menafikan yang SPRM telah memiliki laporan audit forensik yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) selama lebih dari dua tahun yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah.

“Mengapa, selepas dua tahun menerima laporan audit forensik ini, SPRM masih gagal untuk mendakwa sesiapa pun dalam skandal perolehan tentera laut terbesar dalam sejarah negara ini?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Kit Siang berkata, beliau juga masih menunggu jawapan daripada Azam mengenai tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Ini kerana katanya, pertuduhan itu tidak berkaitan sama sekali dengan skandal LCS kerana ia mengenai perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak perolehan LCS yang bernilai RM9 billion pada 16 Disember 2011.

“Membaca bahagian ‘transaksi meragukan’ dalam laporan audit forensik skandal LCS dari tahun 2011 ke tahun 2014, malah dengan 10 muka surat digelapkan, menimbulkan persoalan yang amat jelas kepada para pembaca: ‘mengapa SPRM masih tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal LCS ini selepas dua tahun’

“Skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini adalah skandal 1MDB yang baharu, kerana laporan audit forensik ini menunjukkan keadaan di mana hanya seekor ‘jerung’ yang amat besar sahaja yang boleh menyusun skandal mega sebegini,” katanya.

Justeru, Kit Siang mempersoalkan sama ada SPRM sudah menyiasat ‘jerung’ besar di sebalik skandal LCS berkenaan.

Beliau juga mendesak supaya ‘jerung’ besar di sebalik skandal LCS yang itu didedahkan sekali gus menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes itu dibentuk.

“Adakah ini sebabnya Kabinet tidak membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal ini, bimbang yang ‘jerung’ besar di sebalik skandal ini akan terdedah?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here