TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengambil tindakan saman ke atas Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dan dirinya berhubung dakwaan pembabitan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu sepatutnya tidak hanya membuat penafian dalam kenyataan di Facebook sahaja, sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi membuktikan beliau tidak terbabit.
“Apabila Dr Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik BHIC, iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.
“Jika Dr Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rafizi berkata, Ahli Parlimen Mersing daripada Bersatu itu tidak perlu mencontohi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pada mulanya hanya sekadar membuat penafian penglibatannya dalam skandal SRC International dan 1MDB, tetapi apabila ditunjukkan bukti di mahkamah yang akhirnya didapati bersalah.
“Penafian Facebook Dr Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn Bhd.
“Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan Umno dan bekas Umno (yang kini dalam Bersatu).
“Semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan pun, Najib menafikan mentah-mentah bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat,” katanya.
Justeru, Rafizi menegaskan rakyat tidak lagi boleh mempercayai penafian kosong oleh Menteri-Menteri Umno dan Bersatu kerana rekod yang telah ada setakat ini.
“Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.
Terdahulu, Abd Latiff menerusi satu hantaran di Facebook hari ini menafikan beliau, isteri dan ahli keluarganya terlibat dalam projek LCS dan menegaskan tidak pernah mengahwini wanita bernama Zainab Mohd Salleh.
Laporan Forensik Kapal LCS awal minggu ini mendedahkan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri Abd Latiff dan juga individu yang mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta.
Laporan berkenaan turut menamakan satu lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd sebagai syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut.
Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Abd Latiff dan dimiliki bersama Zainab Mohd Salleh yang dikatakan isteri keduanya. – Malaysiapost

