Sistem 2 parti paling sesuai di Malaysia

0
1

Ben Ibrahim 

SUASANA politik di Malaysia boleh distabilkan jika sistem dua parti diperkenalkan di negara ini. 

Ketua Bersatu Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali berkata sistem dua parti juga dapat mengurangkan salah guna kuasa dan salah laku pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya. 

“Jika sistem ini dilaksanakan, setiap pemimpin yang dipilih akan bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka tahu risiko ditukar (disingkirkan) sekiranya tidak berkhidmat dengan baik. 

“Ini bermakna selepas lima tahun dipilih jadi pemimpin, kalau tak buat kerja, buat penyelewengan, rakyat akan ‘hukum’ mereka dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini. 

Dr Abdul Rashid turut memaklumkan, kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu masih ketinggalan dibandingkan masyarakat Cina dan India. 

Katanya, komuniti Cina dan India di negara ini dilihat lebih bijak berpolitik kerana mementingkan hasil diperoleh daripada menunjukkan kesetiaan kepada mana-mana parti. 

“Dalam berpolitik, orang Cina dan India lebih pandai kerana paling penting ialah manfaat yang mereka dapat jika menyokong parti itu atau parti ini. 

“Sedangkan segelintir orang Melayu, bukan semua, tapi ada yang masih setia menyokong parti tertentu walaupun sudah jelas parti atau pemimpin terbabit tidak amanah, (terpalit) rasuah dan tidak memberi faedah kepada agama dan bangsa,” katanya lagi. 

Beliau berkata, amalan sistem dua parti di United Kingdom dan Amerika Syarikat – Demokrat dan Republikan- menunjukkan ia memberi ruang kepada rakyat negara berkenaan menukar kerajaan setiap lima tahun jika gagal memberi perkhidmatan yang baik. 

“Situasi semasa di negara ini masih jauh daripada memuaskan dan setelah lebih 60 tahun kita merdeka, kadar kemajuan orang Melayu jauh ketinggalan dibandingkan kaum lain. 

“Kadar kemiskinan masih tidak banyak berubah, kira-kira 90 peratus orang Melayu kekal di bawah paras kemiskinan dan berada dalam kategori B40. 

“Ini sangat pelik kerana negara kita mempunyai pelbagai sumber alam seperti emas, kelapa sawit dan macam-macam lagi, tetapi masih ramai yang hidup dalam keadaan sukar,” katanya. 

Dia berkata, ketidakmampuan melakukan tadbir urus yang cekap akan terus berulang selagi struktur politik di Malaysia kekal seperti sekarang. 

Katanya, pilihan terbaik untuk mengubah cara mentadbir negara ialah dengan memperkenalkan sistem dua parti supaya setiap parti akan berusaha membuktikan kesungguhan mereka mentadbir negara dengan lebih kompetitif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here