PAKATAN Harapan (PH) akan bertanding menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan, bagaimanapun memaklumkan satu reka bentuk baharu logo juga akan dipertimbang bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU-15.
Katanya, ia susulan ketetapan yang diambil pada mesyuarat bulanan majlis tersebut semalam.
“Majlis Presiden PH dalam mesyuarat bulanan semalam membuat beberapa ketetapan penting sebagai langkah persiapan dalam menghadapi PRU15. Dalam menghadapi PRU15, PH akan memberi fokus kepada usaha konsolidasi bagi memperkukuh PH itu sendiri.
“PH akan bertanding dengan satu logo, iaitu logo Pakatan Harapan. Satu reka bentuk baharu logo tersebut juga akan dipertimbang bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU15,” menurut kenyataan itu hari ini.
Majlis Presiden PH diwakili pengerusinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada PRU-14 lalu, PH terpaksa bertanding di bawah logo PKR selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak meluluskan pendaftaran gabungan itu sebagai satu parti gabungan dan penggunaan logonya. – Malaysiapost

