ORANG ramai diminta memberi cadangan untuk Bajet 2023 melalui portal yang telah dilancarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata beliau yakin pelbagai idea bernas yang boleh dikongsi bersama untuk pembentangan belanjawan itu kelak.
“Pembentangan Bajet 2023 dah makin dekat. Apa inisiatif Bajet 2022 yang perlu kita kekalkan? Apa inisiatif baru yang perlu kita masukkan?
“Saya yakin anda semua ada pelbagai idea bernas yang boleh dikongsi bersama dan saya ingin mendengar suara anda.
“Untuk itu, MOF dah lancarkan Portal Cadangan Bajet 2023 supaya lebih ramai rakyat dapat berkongsi pendapat dan idea mereka dalam proses penyediaan Bajet,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, mungkin ada yang berpendapat hanya membuang masa memberi pandangan mengenai Bajet 2023 kerana Kementerian tidak membacanya.
“Salah tu! Hasil daripada sesi libat urus MOF bersama rakyat tahun lepas, lebih 50 inisiatif yang dicadangkan telah dimasukkan dalam Bajet 2022.
“Mungkinkah cadangan anda akan direalisasikan dalam Bajet 2023?
“Jadi, jangan lupa untuk kemukakan cadangan anda melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/ sebelum 9 September 2022,” katany. – Malaysiapost

