SELEPAS pendedahan dibuat pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung penghakiman terhadap Datuk Seri Najib Razak yang “bocor” sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mendakwa penghakiman yang bocor itu adalah deraf penghakiman yang belum dimukatamadkan.
“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) merujuk kepada
laporan portal Malaysia Today bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: THE JUDGEMENT yang disiarkan pada 23 Ogos 2022.
“Pejabat ini mendapati penghakiman yang disiarkan oleh portal tersebut merupakan suatu deraf kerja bagi penghakiman dalam tiga rayuan berhubung dengan kes Najib v PP yang telah bocor kepada pihak media.
“Pejabat ini mengesahkan bahawa deraf kerja penghakiman yang telah bocor itu merupakan deraf kerja yang belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Malaysia Today melaporkan dokumen bocor berhubung penghakiman terhadap Najib yang telah disediakan sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Raja Petra turut memuatnaik 15 muka surat penghakiman pada sebelah pagi sebelum rayuan akhir Najib diteruskan.
Pendedahan Raja Petra mendorong Pemuda Umno untuk bertindak membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Najib dengan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta berhubung dakwaan rasuah kes SRC International.
Menurut kenyataan itu lagi, penghakiman muktamad hanya
disampaikan di mahkamah Terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama.
“Didapati bahawa dokumen yang bocor itu telah diubahsuai. Perbuatan ini merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti
pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.
“Penyiasatan dalaman telah pun
dimulakan dan laporan polis telah dibuat. Pejabat ini menegaskan bahawa badan kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu lagi. – Malaysiapost

