Najib ke penjara, Muhyiddin lega perjuangan tolak rasuah ‘berhasil’

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa lega dengan keputusan Mahkamah Perseketuan mengekalkan hukuman sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata keputusan berkenaan adalah hasil perjuangannya dan rakyat Malaysia yang komited menentang rasuah.

Katanya, demi mempertahankan prinsip itu beliau dihukum dengan pemecatan daripada kerajaan dan parti namun terus istiqamah untuk menegakkan yang hak.

“Saya telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan Najib sejak 2015.

“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, perkara itu juga membuktikan kebebasan sistem kehakiman negara dalam menegakkan keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

Muhyiddin berkata, kebebasan sistem kehakiman itulah yang dipertahankan ketika menjadi Perdana Menteri dan bertegas menolak campur tangan dalam isu perundangan negara.

“Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan kerana pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewangan dana berjumlah RM2.6 billion masih belum selesai.

“Begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofail tinggi yang lain,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berharap kebebasan badan kehakiman di negara ini akan terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak demi menegakkan keadilan.

“Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.

“Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here