KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai bukti “kuasa rakyat”.
Katanya, keputusan hakim menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International sebagai kebenaranian badan kehakiman.
“Kita hormat keputusan mahkamah persekutuan bersabit kes Datuk Seri Najib Razak.
“Ini membuktikan bahawa rakyat itu berkuasa, rakyat buat keputusan pada (PRU) tahun 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas dan bersihkan negara daripada rasuah.
“Keputusan rakyat inilah yang membolehkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta dan hukum.
“Bukan mengikut telunjuk politik pihak yang berkuasa, yang telah kita alami selama puluhan tahun,” kata Anwar dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan dana RM42 juta SRC International.
Najib menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula hari ini.
Sementara itu, Anwar juga mengucapkan penghargaan kepada hakim yang menurutnya berani dan berwibawa dalam membuat keputusan berasaskan fakta.
“Tetapi ingatlah rakyat, bila memutuskan dengan bijak, anak muda bila menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” katanya.- Malaysiapost

