Asyraf Wajdi terkilan hak Najib pertahan diri dinafikan

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui terkilan apabila ruang untuk Datuk Seri Najib Razak mempertahankan diri dinafikan Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Asyraf berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah namun kecewa apabila permohonan Najib menangguhkan kes bagi mengemukakan bukti baharu bagi membolehkan pasukan pembela bekas Perdana Menteri itu membuat persiapan ditolak.

Jelasnya, walaupun menghadapi pelbagai tekanan hebat sejak daripada awal proses pendakwaan, Najib tidak pernah berganjak, malah berkali-kali menegaskan mahu membersihkan namanya di mahkamah.

“(Malah, Najib) tanpa sekalipun meminta untuk kesnya dibuang atau digugurkan. Beliau hanya konsisten meminta agar mendapat peluang dibicarakan secara adil (fair trial).

“Jauh sekali untuk dibandingkan dengan pengalaman 22 bulan ketika PH (Pakatan Harapan) memerintah, yang menyaksikan sejumlah besar kes-kes pemimpin mereka begitu mudah digugurkan oleh bekas Peguam Negara (Tan Sri) Tommy Thomas,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, rakyat tidak pernah lupa bagaimana sistem keadilan dirobek dan diperkotak-katik melalui amalan pendakwaan politik terpilih dan campur tangan jelas dalam sistem kehakiman ketika pentadbiran PH.

“Ia seperti pengguguran kes rasuah banglo Lim Guan Eng, jenayah fitnah Rafizi (Ramli) terhadap Tabung Haji, penglibatan ADUN DAP yang terlibat dalam pengganas LTTE.

“Serta kes penipuan dan hasutan pemimpin PH yang telah didakwa, semuanya digugurkan walaupun mahkamah sudah mula bersidang,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengakui berasa sedih dan dukacita dengan keputusan akhir Mahkamah Persekutuan hari ini.

“Walaupun berat hati untuk menerimanya, tetapi inilah keputusan yang telah dibuat setelah Datuk Seri Najib Razak melaluinya dengan penuh cekal dan hemah.

“Buat keluarga Datuk Seri Najib, bertabahlah, bersabarlah dengan dugaan yang menimpa hari ini.

“Kita mungkin kalah dan merasakan keadilan tidak memihak kepada kita hari ini, namun percayalah ada Mahkamah yang lebih besar di hadapan Allah nanti,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah amanat terakhir Najib yang meminta supaya perjuangan diteruskan demi kemaslahatan rakyat dan tanah air yang tercinta.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here