KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak hari ini, bukti usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan maruah dan integriti politik negara adalah perjuangan yang benar.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Muhyiddin sebelum ini telah dianiaya secara besar dua kali oleh Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kuncu-kuncu mereka dalam kluster mahkamah.
“Tan Sri Muhyiddin dipecat oleh Najib dari jawatan dalam Umno dan kerajaan semata-mata kerana beliau menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.
“Kemudian Najib dan Zahid berpakat sehingga 15 orang penyokong kleptokrat dari kalangan MP Umno-BN menarik sokongan untuk memaksa Muhyiddin letak jawatan.
“Hari ini mahkamah menyatakan individu yang tidak berintegriti adalah Najib Razak. Secara langsung ia bermaksud Muhyiddin dan rakyat yang menolak Najib berada di pihak yang benar.
“Kerana itulah hari ini adalah kemenangan rakyat dan pembuktian kebenaran perjuangan Tan Sri Muhyiddin,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Wan Saiful, mungkin ada pihak atau individu lain yang mahu ambil “kredit” atas penghakiman tersebut.
Namun katanya, ada antara mereka yang sanggup menerima surat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri daripada Najib dan Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong semata-mata demi kuasa.
“Tahniah Tan Sri Muhyiddin kerana terbukti sebagai seorang yang istiqamah dan berani memperjuangkan prinsip walaupun terpaksa hilang jawatan dan kedudukan!!
“Inilah dia pejuang sebenar yang hanya mahukan yang terbaik untuk negara dan rakyat dan membersihkan Malaysia dari kleptokrasi.
“Persoalan yang timbul hari ini adalah apa sikap pemimpin lain dalam Umno yang cuba menegakkan benang basah mempertahan Najib sehingga sanggup melempar pelbagai tohmahan terhadap Tan Sri Muhyiddin,” katanya lagi. – Malaysiapost

