Guna ‘perkakas’ serang BN, rakyat sudah mengerti – Ahmad Zahid 

0
1
updated

BARISAN Nasional (BN) tetap yakin dan tidak akan berundur walaupun ada pihak masih cuba menggunakan manipulasi sebagai ‘perkakas’ menyerang parti dan mempengaruhi rakyat seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha pihak berkenaan yang sekali lagi menggunakan strategi melencongkan pemikiran rakyat, sekali gus cuba menghilangkan kisah kegagalan mereka ketika mentadbir, disifatkan tindakan terdesak. 

“Menjelang PRU15 mereka memanipulasi segala ‘perkakas’ yang masih ada dalam pegangan mereka. Mereka sedang berusaha keras melencongkan fikiran rakyat daripada mengingati kisah kegagalan mereka. 

“Langkah mereka bertambah ganas dan terdesak sejak terzahir manifestasi rakyat mahukan BN kembali. Gabungan politik mereka tewas teruk kepada BN dalam banyak PRK serta pada PRN di Melaka dan Johor. 

“Barangkali juga mereka sedang menggerakkan apa direncanakan dalam dokumen sulit yang terdedah April lalu atau ‘khemah besar’ telah pun bergerak dalam samar sebab itu terlihat keseragaman serangan ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Tambah Ahmad Zahid, mereka juga sedar bagaimanapun rakyat masih tidak melupakan keadaan buruk semasa negara di bawah pentadbiran parti itu. 

“Mereka juga tahu rakyat masih terkesan dengan segala pembohongan serta janji-janji palsu mereka dalam PRU14. Apakah  ‘ops divertion’ mereka untuk menyekat keazaman rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan akan berjaya. 

“Jawapannya masa jua akan menentukan kerana rakyat ‘hakim’ PRU15. Rakyat selepas PRU14 lebih bijak dan saksama. 

“‘Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya)’,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, ini adalah keyakinan BN, dan mereka tidak akan berundur,  tersekat dan terus mara ke hadapan. 

“Kerana kita yakin walau apa mereka sedang gerakkan dan lakukan menggunakan ‘perkakas’ mereka, rakyat sudah mengerti. 

“Mengerti sejauh mana lawan BN sanggup menyanggah matlamat tidak menghalalkan cara demi memperoleh kuasa,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here