Dapatan audit forensik isu LCS buktikan Rafizi ‘Raja Fitnah’ – Asyraf Wajdi

0
1

LAPORAN siasatan audit forensik isu kapal tempur pesisir (LCS) yang dinyah klasifikasikan dan dimuat naik di laman Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen malam tadi, menunjukkan dakwaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli adalah tidak benar.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berakata dakwaan yang dibuat Rafizi kononnya isu berkenaan terkait dengan pemimpin Umno adalah andaian jahat dan fitnah.

Menurutnya, hasil penelitian keseluruhan 104 muka surat laporan terbabit mendapati isu berkenaan dimainkan dan dimanipulasi oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang cuba mewarnakan pemikiran dan memainkan persepsi rakyat.

Beliau turut berkongsikan dapatan audit forensik berkenaan yang antaranya membuktikan bahawa tiada sebarang campur tangan Menteri Pertahanan sama ada zaman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Tiada sebarang campur tangan Menteri Pertahanan dalam menentukan pembayaran yang dibuat kepada syarikat-syarikat yang disebutkan dalam laporan sebagaimana andaian dan fitnah yang cuba dimainkan oleh Rafizi dan pembangkang.

“Kesemua kebocoran dan salah guna kuasa yang berlaku adalah berpunca kerana kelemahan tadbir urus (corporate governance failure),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, antara contoh jelas kelemahan tadbir urus hingga memungkinkan berlakunya ketirisan dan salah laku ialah apabila Jawatankuasa Pemandu LCS yang dianggotai oleh orang yang sama terutamanya bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Ahmad Ramli Nor dan Kapten Anuar Murad.

Beliau berkata, individu berkenaan berada di pengurusan tertinggi, jawatankuasa tender, lembaga pengarah dan nama mereka disebut berulang kali di banyak bahagian dalam laporan.

“Antara perkara asas dalam kelemahan tadbir urus korporat ialah bagaimana boleh terjadi individu yang sama boleh berada dalam semua jawatankuasa yang membuat tawaran tender, membuat penilaian, keputusan dan memutuskan berkenaan pemberian tender.

“Dalam istilah tadbir urus dipanggil konflik berkepentingan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, maka tidak benarlah sama sekali segala andaian jahat dan fitnah yang cuba dimainkan dan dimanipulasi Rafizi yang cuba mewarnakan pemikiran dan memainkan persepsi rakyat kononnya isu LCS terkait dengan pemimpin Umno.

“Ini termasuklah juga kononnya hanya ‘ikan bilis’ yang didakwa manakala ‘ikan jerung’ terlepas; sedangkan tiada langsung dalam mana-mana bahagian dalam laporan setebal 104 muka surat mengaitkan Menteri Umno,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here