AUDIT Forensik berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang dalam simpanan Bousted Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) disiarkan kepada umum malam ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lembaga pengarah BHIC bersetuju untuk nyahklasifikasi dokumen berkenaan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkaitan perkara itu sebelum ini.
Beliau turut turut memuatnaik surat daripada BHIC kepada Sekretariat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan nyahklasifikasi dokumen berkenaan.
“Selaras keputusan Jemaah Menteri untuk ‘declassify’ laporan Audit Forensik dalaman BHIC mengenai LCS; Lembaga Pengarah BHIC telah bermesyuarat dan setuju dokumen tsbt dinyahklasifikasikan,” ciapnya.
Menurut Hishammuddin, laporan audit forensik itu boleh didapati di laman web rasmi PAC menerusi pautan:
https://parlimen.gov.my/pac/publication-details.html?id=66
Laporan itu juga menyebut nama ‘Abdul Latiff Ahmad’ dan ‘Zainab Mohd Salleh’.
Menjawab persoalan beberapa butiran dalam laporan berkenaan yang dipadam, Hishammuddin berkata laporan itu hanya mengenai audit forensik LCS.
“Kerana ia merupakan laporan audit forensik dalaman syarikat, turut merangkumi maklumat dalaman syarikat BHIC yang lain,” katanya.
Terdahulu, hari ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.
Katanya, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Dr Abd Latiff.
Bagaimanapun, Dr Abd Latiff yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.
Dr Abd Latiff berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu. – Malaysiapost


