STRATEGI satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sebagaimana dilontarkan Timbalan Presiden PAS adalah rahsia terbuka untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata pertandingan satu lawan satu dengan PH PH juga langkah bersifat kalkulatif bagi menyimpulmatikan peluang PH untuk kembali berkuasa.
Katanya, berdasarkan keputusan PRU14 lalu, gabungan undi BN dan PAS sendiri boleh menyebabkan PH kehilangan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen.
“Ini termasuklah Parlimen Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu yang berada dalam negeri Kedah.
“Oleh itu, PAS Kedah menyeru semua pihak supaya kembali ke meja rundingan bagi memastikan strategi satu lawan satu ini direalisasikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azam, semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti kerjasama lain perlu berada di bawah satu kesepakatan bagi melawan PH.
Katanya lagi, semua pihak perlu mempunyai tekad politik yang tinggi untuk keluar daripada garisan perpecahan.
“Sewajarnya kebobrokan dasar digubal pada era pemerintahan 22 bulan PH menjadi iktibar dan pengajaran besar supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’.
“Satu demi satu tali yang mengikat peraturan agama dirungkai oleh kerajaan PH. Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dilencongkan dengan pandang sisi liberal sehingga soal maksiat individu dibingkaikan dengan ‘private sphere’.
“Begitu juga sokongan terhadap ICERD, Statute Rome adalah sebahagian daripada sisi gelap era pemerintahan PH tempoh hari yang perlu terus diingati,” katanya. – Malaysiapost

