TIADA perbincangan mengenai kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat tergempar hari ini, dakwa sumber dalaman Umno.
Beliau menyangkal laporan sebuah portal berita yang mendakwa mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-Ketua Umno Bahagian yang diadakan di Menara Dato On, PWTC hari ini, gagal mencapai kata sepakat mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas Presiden Umno itu.
Beliau memberitahu Malaysiapost, mesyuarat berkenaan berjalan dalam keadaan tenang dan hanya membincangkan keperluan untuk Umno mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
“Memang tiada perbincangan mengenai kes Mahkamah Datuk Seri Najib. Itu adalah laporan berita yang tidak betul, saya tak tahulah apa motif berita itu dikeluarkan. Mungkin cuba mencipta naratif baru.
“Mesyuarat bersetuju sebulat suara untuk PRU15 diadakan segera, secepat mungkin, itu sahaja yang dibincangkan,” katanya.
Terdahulu, Astro Awani melaporkan ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama Umno mengenai campur tangan Perdana Menteri terhadap kes mahkamah Najib.
Sebelum ini, portal SuaraTV melaporkan mesyuarat tergempar Ketua-ketua Umno Bahagian bersama Presiden tengah hari tadi dikatakan bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masuk campur dalam kes mahkamah.
Desakan kedua ialah mahukan Perdana Menteri menasihati Peguam Negara agar mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Ini semua cerita tidak benar, tiada langsung menyentuh hal berkenaan. Kita hanya bermesyuarat untuk mendesak PRU15 diadakan seberapa segera,” katanya.
Sementara itu, mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian yang sepatutnya bersambung petang ini tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, media tidak dimaklumkan kenapa mesyuarat itu tidak berlangsung pada petang ini.
Difahamkan, pemimpin utama Umno atau ‘top 5’ akan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Seri Perdana malam ini bagi membincagkan hal yang berkait dengan parti.
Tinjauan di ruangan parkir kereta, kenderaan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Umno lain juga tidak kelihatan, dipercayai telah meninggalkan kawasan berkenaan selepas Asar untuk menuju ke Seri Perdana. – Malaysiapost

