‘Rafizi, Dr Abd Latiff bukan Umno tapi Bersatu’ – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan Rafizi Ramli mengaitkan Umno dengan nama Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang didakwanya sebagai ‘jerung’ di sebalik projek kapal tempur pesisir (LCS) sebagai berniat jahat.

Asyraf wajdi berkata, sebaliknya Dr Abd Latiff adalah pemimpin kanan Bersatu yang ‘disucikan’ oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didokong oleh PKR, selepas beliau meninggalkan Umno.

“Terdesaknya Rafizi ini boleh kita lihat bila dia cuba mengaitkan nama Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) dalam isu ini – hanya kerana Presiden Umno adalah Menteri Pertahanan ketika Dr Abd Latiff menjadi timbalannya.

“Kalau begitu adakah kita juga boleh mengheret nama Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dalam kes fitnah Tabung Haji ciptaan Rafizi memandangkan Anwar adalah de facto leader PKR ketika itu?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga mengingatkan Timbalan Presiden PKR itu, bahawa Menteri Pertahanan waktu itu adalah Mohamad Sabu iaitu daripada rakan sekutu PKR dalam PH.

“Kena tanya kenapa didiamkan kes Kapal LCS melibatkan Ahli Parlimen yang melompat menjadi sebahagian daripada PH?

“Pendirian Pemuda Umno dari awal tetap bertegas, sesiapa sahaja yang terlibat dalam apa jua bentuk penyelewengan, salah laku, rasuah ataupun ketirisan yang melibatkan wang rakyat dalam kes Kapal LCS ini mesti segera didakwa dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Rafizi sepatutnya mendedahkan semula kes-kes ‘penyucian’ setiap individu yang melompat parti daripada pertuduhan mahkamah.

“Kenapa apabila melompat sahaja, semuanya disucikan daripada pertuduhan mahkamah, salah laku, penyelewengan dan lain-lain.

“Termasuklah kes- kes yang digugurkan pada zaman PH. Atau mungkin Rafizi tak berani dedah semula memandangkan dia sendiri mendapat manfaat tersebut ketika PH sedang berkuasa,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, hakikatnya Rafizi bernasib baik kerana kes mahkamahnya berhubung fitnah Tabung Haji digugurkan oleh bekas Peguam Negara zaman PH, Tommy Thomas.

“Rafizi jangan ingat rakyat lupa bahawa dia sudahpun diarahkan membela diri dalam perbicaraan kes fitnah Tabung Haji. Prima facie sudahpun terbukti. Nasib baiklah untuk Rafizi kes itu akhirnya digugurkan oleh Tommy,” katanya.

Terdahulu, hari ini, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

Bagaimanapun, Dr Abd Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LSC itu adalah isterinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here