PEMUDA PAS hari ini bertanya kepada Rafizi Ramli di mana beliau ketika pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) ditarik kes rasuahnya oleh Peguam Negara semasa pentadbiran gabungan itu sedangkan kes sedang berjalan di mahkamah.
Persoalan itu dikemukakan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari ketika Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR giat membangkitkan isu skandal kapal tempur psisir (LCS).
“Di manakah saudara (Rafizi) ketika pemimpin kanan PH ditarik kes rasuahnya oleh Peguam Negara sedangkan kes sudah berjalan di mahkamah?
“Kedudukan pemimpin itu lebih kanan berbanding individu yang saudara sebutkan hari ini. Jika boleh saya tolong jawab persoalan, saudara berada di dalam gua ketika itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata dalam hal tersebut Datuk Seri Najib Razak lebih bermaruah daripada pemimpin kanan PH tersebut.
Ini kerana katanya, sekali pun yang menjadi Perdana Menteri hari ini ialah Naib Presiden Umno, kes Najib tidak ditarik balik sewenang-wenangnya oleh kerajaan, bahkan langsung tiada tanda campur tangan politik.
“Saudara (Rafizi) juga pernah mengancam untuk mendedahkan pemimpin kanan PAS yang kononnya menerima duit 1MDB, akhirnya yang didedahkan ialah individu yang sudah lama tiada kaitan dengan PAS kecuali sebagai ahli biasa.
“Saya simpati dengan saudara. Saudara timbul apabila hampirnya PRU, dan akan kembali ke gua sekali lagi selepas pilihan raya,” katanya.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut membidas Rafizi yang bertanya pendirian PAS berhubung isu skandal LCS.
“Saudara, pendirian PAS dari dulu sehingga sekarang bahkan sampai bila-bila tidak pernah berubah, iaitu keadlilan wajib ditegakkan tanpa mengira sesiapa pun.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat, buatlah laporan, siasatan wajib secara adil, dan tiada yang boleh dikatakan bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya. – Malaysiapost

