LETUPAN kecil yang dilaporkan berlaku di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur, semalam dipercayai berpunca akibat litar pintas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata pihaknya bagaimanapun tidak menerima sebarang panggilan kecemasan daripada pusat beli belah berkenaan berhubung kejadian itu.
“Kami sudah menghubungi pihak pengurusan bangunan pusat beli belah itu dan dimaklumkan bahawa kejadian letupan itu membabitkan pendawaian dipercayai akibat litar pintas,” katanya.
Mengulas kejadian itu juga, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.
Semalam, satu video berdurasi 30 saat memaparkan suasana cemas berlaku di pusat beli belah terkemuka itu selepas berlaku letupan kecil tular di media sosial.
Video yang dikongsi pengunjung pusat membeli belah itu mendapat perhatian ramai pihak.
Dalam video berkenaan menunjukkan beberapa petugas dan polis bantuan di pusat beli belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit. – Malaysiapost

