TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan kerajaan ketika ini bukan didominasi Barisan Nasional (BN), tetapi dokongan daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, sehubungan itu apa sahaja keputusan untuk membubarkan Parlimen mesti diputuskan bersama anggota Kabinet serta parti yang mendokong kerajaan.
”Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.
“Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan Perdana Menteri secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, PAS serta komponen PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri.
Tambahnya, Jentera Pilihan Raya Peringkat Kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat pada 3 September ini.
“Manakala PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihan raya PN pada 27 Ogos ini.
“Maka tidak timbul soal tidak bersedia atau lainnya. Kita yakin pihak berkepentingan akan terus menekan PM tanpa melihat realiti parti yang mendokong kerajaan kini,” katanya. – Malaysiapost

