MALAYSIA tidak banyak berhutang dengan negara luar, sekaligus menafikan dakwaan banyak berhutang dengan negara jiran Indonesia.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Menurut Tengku Zafrul, sebanyak 97.5 peratus hutang negara adalah pinjaman dalam negara.
“Baru-baru ni saya buat video pasal hutang isi rumah, ramai yang tinggalkan komen tanya, “YB, betul ke Malaysia banyak berhutang dengan Indonesia?” Jawapan mudah dia, tak betul!
“Sebanyak 97.5 peratus hutang negara adalah pinjaman dalam negara. Hanya 2.5 peratus sahaja hutang negara adalah pinjaman luar,” jelasnya.
Beliau berkata, jumlah 2.5 peratus yang sikit itu juga adalah pinjaman dari pelbagai institusi dan pelabur asing seluruh dunia.
“Dari Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, Jepun, Singapura dan banyak lagi. Jadi, 2.5 peratus pinjaman asing ni takkanlah Indonesia tapau semua? Memang tak logik lah,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata salah satu cara kerajaan membuat pinjaman adalah melalui terbitan bon.
“Selepas itu kita buat bidaan. Para pelabur akan buat bidaan kerana pulangan serta jumlah yang ingin dilanggan.
“Pelabur yang bidaannya dengan pulangan paling rendah dan jumlah (pinjaman diberi) paling tinggi akan dipilih,” katanya.
Menurutnya, sangat jarang kerajaan membuat pinjaman secara terus dari negara lain kerana jika ingin meminjam kerajaan akan mengikut proses seperti yang telah dijelaskan. – Malaysiapost

