‘Umno, BN akan tewas jika tidak segerakan PRU15’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu disegerakan sekiranya tidak mahu menyaksikan Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang ketika ini sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk mengugat keyakinan akar umbi Umno dan BN.

Jelasnya, tindakan melengah-lengahkan PRU15 hanya memberi kelebihan kepada pembangkang dan seolah-olah memberikan ‘senjata’ kepada musuh untuk terus menyerang.

“Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar Parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pimpinan parti dan akar umbi Umno sangat yakin waktu sekarang paling terbaik untuk menyegerakan PRU15 dan perkara itu sudah banyak kali dijelaskan.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini, Umno tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum pembubaran Parlimen untuk menyerang BN.

“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.

“Dengan kata lain, mereka serang, spin (putar belit) dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik, walaupun Pakatan Harapan (PH) berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga PM mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui bahawa pendirian Umno yang mahukan PRU15 segera akan memberi kelebihan kepada parti itu.

“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, Umno sudah lama membuat pendirian tersebut dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti.

“Segerakanlah atau Umno BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa pendirian Umno yang mahukan PRU15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

Menerusi temu bual dengan ‘The Associated Press’ yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada Umno untuk menang besar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here