Lelaki ugut Ketua Hakim Negara ditahan

0
2
lelakiugutketuahakim

SEORANG lelaki ditahan semalam selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Penahanan suspek berusia 30 tahun itu dilakukan di sebuah rumah di Puchong, Selangor kira-kira pukul 11.15 malam selepas laporan polis diterima mengenai ancaman dan ugutan dalam media sosial terhadap Tun Tengku Maimun.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden A Skandaguru, berkata kenyataan berkenaan dikesan telah dimuat naik oleh seorang pemilik Facebook dikenali Apiez Bond.

Katanya, hasil penahanan itu, satu unit telefon bimbit beserta kad sim yang dipercayai digunakan suspek memuat naik hantaran berkenaan dirampas.

“Suspek akan ditahan reman selaman empat hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos ini bagi siasatan lanjut.

“Siasatan berkenaan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skandaguru berkata, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jelas beliau, PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambul terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan,” jelasnya.

Media melaporkan PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan terhadap Tun Tengku Maimun.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, siasatan akan dijalankan berhubung sebarang elemen ancaman dan ugutan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here