‘Bukan minta lepaskan Najib cuma mahu proses yang adil’ – Isham

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mendakwa Datuk Seri Najib Razak akan dihumban ke penjara minggu depan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata, ia susulan permohanan rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu ditolak Mahkamah Persekutuan, Isnin lalu.

“Keputusan kes Datuk Seri Najib ini, semua perkara yang di minta semua tidak dapat. Minta penangguhan tidak dapat, minta masuk bukti baru pun tak dapat. Peguam mahu menarik diri juga tidak dapat.

“Kita bukan minta (mahkamah) untuk lepaskan Najib. Kita mahu proses yang adil,” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Isham berkata, seharusnya jika sesorang individu itu akan dihukum maka pihak mahkamah perlu mendengar semua bukti-bukti yang dikemukakannya.

“Pada saya jika mahu hukum individu semua bukti-bukti harus didengar. Tidak boleh hukum mereka dan bukti ini didengar tetapi bukti itu tidak didengar,” katanya.

Mahkamah Persekutuan Isnin lalu menolak permohonan peguam utama Najib yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam memerlukan lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan.

Panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusannya berkata, mahkamah sudah mengingatkan sebanyak empat kali bahawa ia tidak akan membenarkan prosiding ditangguhkan walaupun berlakunya pertukaran peguam perayu.

Panel juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhirnya.

Panel membuat keputusan itu selepas mendapati ia gagal untuk melihat bagaimana peranan Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini selaku Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here