Hapuskan semua golongan terlibat rasuah – Abdul Hadi

0
1

SELAIN penerima, pemberi rasuah juga harus dihapuskan kerana menggunakan cara haram untuk kepentingan diri dalam menguasai ekonomi termasuk politik, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, banyak laporan individu yang dihukum adalah penerima rasuah, termasuk mereka yang masih dalam tuduhan belum dibuktikan bersalah tetapi telah dihukum oleh media sebelum proses kehakiman diselesaikan.

“Ada juga kalangan mereka yang nasibnya menjadi kambing hitam yang disembelih menjadi korban atau yang menjadi proksi kepada penyangak yang sebenarnya bersembunyi melakukan rasuah yang lebih besar jumlahnya sehingga berlipat kali ganda.

“Adapun dalam kalangan yang memberi rasuah itu pula tidak kelihatan, mungkin senarainya lebih panjang dan jumlahnya lebih ramai.

“Jadi, ayat ditaksirkan oleh hadis Rasulullah saw yang Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan lain-lain), yang bersabda bahawa “Baginda telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

“Maka, ayat al-Quran dan hadis ini mendahulukan laknat terhadap sesiapa yang memberi rasuah. Barangkali kalangan inilah yang paling besar menguasai ekonomi negara dan mempengaruhi politiknya dengan cara yang haram,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi berkata, golongan yang mengamalkan politik wang tidak akan memilih para pemimpin dan pentadbir yang berintegriti.

Katanya, sifat integriti itu hanya terdapat pada kalangan mereka yang beriman dan budiman bukan sekadar mempunyai ilmu sahaja, malah kini individu yang memiliki sijil atau ijazah pun boleh terlibat dengan rasuah.

“Semua ciri-ciri itu tidak berupaya kerana dipenuhi oleh ideologi ciptaan manusia yang tidak kebal dalam menghadapi penyakit seperti rasuah.

“Semua pihak yang ada kaitan dengan penyelewengan rasuah adalah berdosa besar. Bukan sahaja penerima rasuah termasuklah pemberi rasuah yang memulakannya juga berdosa besar dan bersalah.

“Bahkan, semua pihak yang mempunyai kaitan dengan perbuatan tersebut turut bersalah dan sama-sama berdosa besar. Oleh itu, sepatutnya semua golongan yang terlibat dengan rasuah mestilah dihapuskan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here