Wan Junaidi simpati keluarga yang hadapi isu kerakyatan anak

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersimpati dengan wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing dan berdepan isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Beliau berkata, pihaknya memahami cabaran serta rintangan dihadapi keluarga berkenaan khusus apabila pulang dari luar negara untuk kembali menetap di tanah air dengan anak-anak yang tiada status warganegara Malaysia bahkan tiada juga warganegara mana-mana negara.

“Saya turut simpati dengan masalah mereka dari sudut persekolahan di beberapa peringkat setelah kembali menetap di Malaysia yang menjadikan anak-anak yang belum ada status, akhirnya tersisih daripada semua kemudahan dan ruang untuk mencari pendidikan serta bantuan sosial.

“Dalam masa sama, ibu bapa ini dalam kalangan golongan profesional berpendidikan tinggi dan sepatutnya menjadi aset negara yang memerlukan kepakaran yang mereka miliki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkongsi mengenai pertemuan dengan wakil Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, pertemuan itu bagi membincangkan mengenai wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Katanya, setiap individu yang hadir iaitu Presiden Family Frontiers, Suriani Kempe; Exco, Adlyn Adam Teoh; Kordinator, Bina Ramanand; Mashithah Abdul Halim; Syide Niba Batool Zaidi dan Esther mempunyai pengalaman secara peribadi mengendali dan menghadapi cabaran mengenai isu terbabit.

“Menghadapi rintangan dan cabaran yang bukan disebabkan kesalahan mereka sendiri.

“Saya menceritakan sedikit sejarah kes berkaitan yang dibawa ke mahkamah sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan yang mana ia masih dalam Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan belum buat satu keputusan maka kerajaan tidak boleh buat apa-apa tindakan selagi Mahkamah Persekutuan belum membuat keputusan dari sudut tafsiran Perlembagaan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here