JAAFAR Awang Mat, 106, yang pernah tular tahun lalu kerana menjadi antara individu tertua di Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19 meninggal dunia, kelmarin.
Bagaimanapun menurut cucunya, Noor Azriena Syamsuri Md Nor, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Ayah Pa bukan meninggal dunia kerana kesan vaksin, sebaliknya uzur sakit tua selain menghidapi penyakit paru-paru kronik.
“Keadaan kesihatan Ayah Pa okay selepas mengambil suntikan vaksin kecuali tempoh sebulan terakhir dia tenat kerana sakit tua selain penyakit paru-paru.
“Sejak pandemik pada 2020, Ayah Pa tidak pernah dijangkiti Covid-19 sehinggalah ke akhir hayatnya, syukur Alhamdulillah. Sama-sama kita mendoakan Ayah Pa,” katanya memetik laporan MStar.
Tahun lalu, Jaafar mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila dengan bangganya memegang poster ‘Saya telah divaksin’ di pusat pemberian vaksin (PPV).
Namun siapa sangka, selepas lebih setahun ceritanya menjadi perhatian rakyat Malaysia, Ayah Pa menghembuskan nafas yang terakhir di rumahnya di Kampung Pulong di Kubang Kerian, Kelantan kira-kira 7.35 malam, kelmarin.
“Tok ayah (panggilan datuk) menghidap penyakit paru-paru kronik sejak tiga tahun lalu. Dia okay, cuma seminggu dua ni dia tenat.
“Dia letih dan tak ada selera nak makan. Dia hanya berehat di rumah berbanding sebelum ini sering ke sana sini menunggang basikal,” katanya.
Wanita berusia 34 tahun itu memberitahu, datuknya masih bercakap dengan ahli keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas Maghrib.
“Ayah Pa cakap dia nak tidur. Kami dapat rasa pernafasannya agak laju dan sempat ajarnya mengucap dua kalimah syahadah.
“Ayah Pa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian pada pukul 11.45 malam hari sama.
“Alhamdulillah kesemua ahli keluarga tinggal di kawasan sekitar, jadi ramai yang datang untuk pengebumian,” katanya.
Ayah Pa meninggalkan tujuh anak dan lebih 35 cucu dan lebih 30 cicit. -Malaysiapost

