PH Pahang tak mahu kerjasama dengan PAS

0
1

PAKATAN Harapan (PH) senada dengan PAS untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Pahang, namun tidak akan sesekali bekerjasama dengan parti tersebut.

Angkatan Muda Harapan Pahang mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhili Shaari semalam yang menjemput penyokong PH untuk bersama-sama menumbangkan BN di negeri itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Angkatan Muda Harapan Pahang berkata ketika ini PH mempunyai sembilan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana tujuh daripada DAP dan dua lagi PKR, manakala PAS dengan lapan kerusi.

“Maka boleh dirumuskan kedudukan PH sebenarnya lebih kukuh jika dibandingkan dengan PAS di Pahang.

“Tidak dinafikan PH juga mempunyai visi dan impian sama dengan PAS – ingin menumbangkan kerajaan BN dan melakukan reformasi pentadbiran di Pahang sebagaimana di Selangor dan Pulau Pinang.

“Namun begitu, PH tidak mungkin boleh melupakan kejadian di mana PAS telah bersekongkol bersama Bersatu dan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020.

“PAS yang telah “tidur sebantal” bersama BN melalui konsensi Muafakat Nasional, hanya berpisah dan kembali memusuhi BN semula setelah menjalin hubungan luar dengan Bersatu dan kemudian menubuhkan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Tambah kenyataan itu, tindakan tersebut menunjukkan PAS adalah parti yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.

Tindakan itu juga katanya, membuktikan sebarang kerjasama dengan PAS tidak menjamin sesuatu hubungan politik yang stabil dan utuh.

“Satu soalan yang ingin diajukan kepada PAS ialah bolehkah PAS memberi jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi yang dimenangi PH di Pahang dan memastikan komponen mereka dari PN juga tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut?

“Oleh itu, saranan dari Ketua Pemuda PAS ini wajar dibalas dengan perkataan Inggeris ‘thank you, but no thank you’.

“Tiada keperluan bagi penyokong PH untuk memberi sokongan kepada PAS mahupun PN yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan menjadi satu kerajaan paling gagal dalam sejarah politik negara kita,” katanya.

Menurut Angkatan Muda Harapan Pahang lagi, PH selaku “goverment in waiting” perlu bekerja keras untuk meraih semula sokongan dari rakyat.

Sehubungan itu katanya, PH Pahang mesti mempertahankan sembilan kerusi yang dimenangi pada PRU14 dan merangka strategi untuk menawan Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here