DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat Mahkamah Persekutuan patut membenarkan Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti baharu meskipun ia dianggap lemah.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, setiap individu wajar diberi hak seluas-luasnya untuk membela diri seperti mana dalam ajaran Islam yang meletakkan keadilan di tahap tertinggi.
“Sekiranya bukti-bukti ini tidak kuat sekalipun, biarlah peguam Datuk Seri Najib mengemukakannya terlebih dahulu.
“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?
“Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri.
“Islam meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi. Baik kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri. Setiap orang diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri,” katanya di Facebook, hari ini.
Dr Asyraf bagaimanapun mengakui keperluan setiap individu menghormati keputusan mahkamah, namun keputusan menolak mengemukakan bukti-bukti baharu ini hanya atas sebab teknikal sudah pastilah dilihat merencatkan hak tertuduh.
“Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak bukti-bukti baru dalam kes Datuk Seri Najib Razak sudah tentulah mengecewakan.
“Saya secara peribadi sebagai individu yang pernah menerima mentorship beliau sepanjang tiga tahun menjadi Timbalan Menteri juga merasakan perkara yang sama,” katanya.
Dr Asyraf turut mengimbas pendakwaan kes mahkamah melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah ditangguh lebih 70 kali bagi memberikan ruang keadilan seluas-luasnya kepada Presiden PKR itu.
“Atas sebab ini, Umno pada zaman Datuk Seri Najib sendiri tidak pernah mengganggu sebarang proses mahkamah. Termasuklah dalam kes Liwat 2.0 Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun kes itu berjalan hampir 7 tahun dan ditangguh lebih 70 kali. Umno percaya itu adalah hak tertuduh untuk mendapatkan masa dan ruang bagi membela diri dengan sebaiknya,” katanya.
Pada masa sama, Dr Asyraf menjelaskan, tuntutan Pemuda Umno sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan Hakim Datuk Nazlan juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan.
Katanya, kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan.
“Betul Ketua Hakim Negara Tengku Maimun mengatakan “Justice delayed is justice denied”. Tetapi di sana ada juga maxim yang menyebut, “justice rushed is justice crushed”.
“Saya sebenarnya merasa amat bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan. Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80an dan 90an berulang,” katanya.
Semlam,panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti tambahan yang dikatakan bukti baharu yang membabitkan kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank, sebelum rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi bekas Presiden Umno itu.
Panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding akhir rayuannya antara tiga hingga empat bulan bagi membolehkan barisan peguam baharu yang dilantik itu bersedia dengan hujahan lebih baik.
“Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Datuk Seri Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.
Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya. Kami tidak akan lupa!” katanya. – Malaysiapost

