Kementerian Pertahanan lemah urus kontrak projek LCS – JKSTUPKK

0
1

JAWATANKUASA Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mendapati tadbir urus Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) untuk kontrak projek pembekalan itu adalah lemah.

Berdasarkan Laporan Siasatan Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah dinyahklasifikasikan dan boleh disemak di portal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), sebahagian klausa dalam kontrak berkenaan juga tidak menjaga kepentingan kerajaan.

Klausa kontrak juga tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuatkuasa.

Menerusi ruangan penutup laporan berkenaan, syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

“Kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS telah menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam LCS tersebut.

“Kelewatan pihak kerajaan dan pihak syarikat untuk memuktamadkan beberapa komponen projek telah menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan menyumbang kepada peningkatan kos serta kelewatan penyerahan LCS,” menurut laporan itu.

JKSTUPKK juga mendapati penglibatan anggota pentadbiran di peringkat awal sebelum kontrak ditandatangani telah menyebabkan reka bentuk dan komponen atau peralatan yang diperlukan TLDM sebagai pengguna akhir diketepikan.

Dalam laporan itu, jawatankuasa berkenaan secara keseluruhan merumuskan empat kelemahan iaitu kelemahan perancangan, kelemahan proses perolehan, kelemahan pengurusan kontrak dan kelemahan klausa kontrak.

Sementara itu, maklumat yang dipadamkan dalam laporan berkenaan adalah membabitkan maklumat mengenai tiga syarikat yang terbabit dalam LCS iaitu BNS, Boustead Holdings Berhad (BHB) dan Perstim Industries Sdn Bhd (PISB).

Maklumat berkenaan berkaitan nama Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat berkenaan serta pemilikan saham mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here