BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan partinya yang bersolidariti untuk terus bersama perjuangannya dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.
Ahli Parlimen Pekan itu yang kini berdepan cabaran sukar selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd, semalam.
Beliau berterima kasih kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Terima kasih Presiden. Thank you Ketua Pemuda,” katanya di laman Facebook, hari ini.
Najib turut berkongsi hantaran kedua-dua kepimpinan parti itu di Facebook yang menyatakan sokongan terhadapnya.
Terdahulu Ahmad Zahid menyatakan Umno, BN tetap bersama Najib dan menurutnya terlalu banyak jasa dan sumbangan diberikan Najib untuk parti dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara.
Asyraf Wajdi pula berpendapat Mahkamah Persekutuan patut membenarkan mentornya itu mengemukakan bukti baharu meskipun ia dianggap lemah.
Menurutnya, setiap individu wajar diberi hak seluas-luasnya untuk membela diri seperti mana dalam ajaran Islam yang meletakkan keadilan di tahap tertinggi. – Malaysiapost

