Maklumat dipadam tidak jejas fakta – PAC

0
1

BEBERAPA fakta dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dipadamkan tidak menjelaskan fakta keseluruhan laporan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh, berkata PAC bagaimanapun berpendirian bahawa pemadaman maklumat-maklumat tersebut adalah tidak perlu.

Menurutnya, ia adalah kerana hanya membabitkan maklumat berkaitan Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham Boustead Holdings Bhd (BHB), Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Perstim Industries Sdn Bhd (PISB).

“Ada beberapa fakta dalam laporan berkenaan yang dipadamkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun pada keseluruhannya ia tidak menjelaskan fakta keseluruhan laporan berkenaan

“Pemadaman maklumat-maklumat tersebut adalah tidak perlu kerana maklumat berkenaan dengan pengarah dan pemegang saham BHB, BNS dan PISB yang dipadamkan sememangnya merupakan maklumat terbuka.

“Ia boleh didapati dengan suatu carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama, PAC masih menunggu laporan pengauditan forensik yang dibuat syarikat BNS untuk dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Kabinet.

“Orang ramai yang ingin membaca atau memuat turun laporan berkenaan boleh melayari laman web PAC beralamat https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-317.pdf,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Wong Kah Woh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here