“INILAH tempat terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak membentangkan fakta, bukannya di Facebook seperti dibuatnya selama ini,” kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai Najib yang akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Rafizi berharap kebenaran akhirnya ditegakkan apabila perbicaraan akhir kes SRC bermula hari ini.
“Di mahkamah ada peraturan yang mengatur penghujahan kita mengikut undang-undang, supaya kita tidak boleh berbohong dan putar alam ikut suka kita.
“Saya selalu turun naik mahkamah semasa Najib berkuasa dan diteruskan pula semasa PH berkuasa. Saya menang semua kes-kes saya (14 kes semuanya) berdasarkan hujah perundangan mengikut fakta.
“Sebab itu bagi saya, bila ke mahkamah ini kita akan berani jika kita benar,” katanya.
Terdahulu Najib tiba di pekarangan mahkamah jam 9.10 pagi bagi mengemuka rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, bagi sabitan kes tersebut.
Najib dan pasukan peguamnya daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, dilapor bakal mengemukakan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pendakwaan yang menafikan hak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Ia dianggap menyebabkan ketidakadilan serius apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa gagal mendapatkan perbicaraan adil dan saksama.
Berdepan peluang terakhir mempertahankan diri, perkara itu akan dibentangkan Najib melalui peguamnya, bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari, mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu. – Malaysiapost

