PEGUAM utama, Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik akan membalas hujahan pendakwaan (responden) dalam cubaan kedua, Najib memasukkan bukti baharu menerusi rayuan akhir, kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.
Permohonan Najib melalui permohonan notis usul kali ini berikutan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC di Mahkamah Tinggi dan mendapati beliau bersalah di atas tujuh pertuduhan, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.
Selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusannya, Hisyam dijangka mengemuka permohonan lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir, lapor Berita Harian.
Najib gagal dalam cubaan pertama pada 16 Mac lalu apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk memasukkan bukti membabitkan dakwaan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.
Dalam hujahan hari ini, Hisyam menyentuh mengenai bukti baharu yang menunjukkan wujudnya konflik kepentingan dan berat sebelah Mohd Nazlan tidak diberikan kepada pihak pembelaan, ketika perbicaraan kes itu di mahkamah tinggi.
Jelasnya, pembelaan tidak sedar kewujudan bukti itu sehinggalah dua sampul surat mengandungi lapan dokumen dihantar ke kediaman Najib di antara 9 Mei dan 7 Julai lalu, beliau tidak pernah mengetahui dakwaan peranan dan pembabitan Mohd Nazlan dalam penubuhan SRC melalui jawatannya sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat di Maybank Investment Berhad.
Hisyam berkata, prosiding rayuan itu wajar ditangguhkan sehingga siasatan ke atas Mohd Nazlan selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram pula membalas hujahan itu dengan menyatakan perayu tahu peranan Mohd Nazlan dalam Maybank dan peranan Bina Fikir Sdn Bhd (bahagian penasihat kewangan Maybank) dalam memberikan khidmat nasihat bagi penubuhan SRC.
Katanya, mereka boleh saja membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian, yang jelas menunjukkan Mohd Nazlan tidak ada peranan dan konflik kepentingan dalam kes terbabit. – Malaysiapost

