TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengetuai rundingan bagi pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rafizi dilantik mengetuai barisan kepimpinan PKR dalam Jawatankuasa Rundingan Kerusi PH bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Nurul Izzah Anwar, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Amirudin Shari.
Ia diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata Amirudin juga dilantik mengetuai PKR dalam Jawatankuasa Strategi PH manakala Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai pasukan PKR dalam Jawatankuasa Manifesto PH.
“Bagi mempertingkat tahap kesiapsiagaan parti, jentera dan anggota dalam menghadapi PRU15 yang mungkin berlaku dalam masa terdekat, MPP juga memutuskan bahawa Konvensyen Pilihan Raya akan diadakan pada 27 Ogos ini di Shah Alam,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost

