SEORANG lelaki diberkas kerana dipercayai terbabit kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan orang selepas kenderaan dipandunya dikesan membawa enam warganegara Myanmar termasuk tiga wanita yang disembunyikan di bonet kereta.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tun Teja Alam Impian, Shah Alam pada Rabu lalu.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menemui enam warga asing dalam kereta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun berkenaan.
“Lelaki berkenaan menaiki kereta jenis Nissan Teana warna hitam dan pemeriksaan menemui tiga lelaki berada di bahagian penumpang belakang dan tiga wanita yang disembunyikan dalam bonet belakang kereta.
“Kesemua individu dibawa lelaki terbabit adalah warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku menerima upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang yang dibawa dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang, Selangor.
“Suspek mendakwa menerima upah daripada individu yang dikenali dengan nama panggilan ‘Pok Sey’.
“Pemeriksaan lanjut terhadap beg yang dipakai oleh suspek telah menjumpai peralatan menghisap dadah dan satu plastik yang mengandungi 50 biji pil berwarna merah yang dipercayai pil kuda,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama 28 hari bermula 11 Ogos hingga 7 September ini mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012.
“Kesemua enam warganegara Myanmar direman selama 14 hari bermula semalam hingga 24 Ogos ini,” katanya.
Beliau mengalu-alukan sebarang informasi dari orang ramai berkaitan kes berkenaan yang boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 016-7252948. – Malaysiapost

